SEJARAH SEKOLAH
TOKOH SEKOLAH
PENGASAS SEKOLAH

Hari Ahad, 7hb. Februari, 1965 lahir sebuah Institusi Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Raja, Batu Pahat di bawah penyeliaan Encik Pitdin bin Norit. Bangunan sekolah asal ialah bangunan "Sekolah Inggeris Malaysia" yang dipinjamkan oleh Allahyarham Tuan Hj.Muhamad bin Hj.Nawawi selama lapan bulan. Lapan bulan berikutnya iaiu pada 22hb. November, 1965 bangunan baru siap, maka barulah bayi yang baru lahir itu mempunyai bangunan sendiri yang kekal hingga sekarang.

Sejarah merakamkan pengorbanan dan dayausaha tokoh-tokoh yang telah bersusah payah bagi mengasaskan penubuhan sekolah ini. Di antaranya yang terpenting ialah Allahyarham Tuan Hj.Muhamad bin Hj.Nawawi yang telah meminjamkan bangunan Sekolah Inggeris Malaysia di Jalan Muhamad, Parit Raja. Seorang tokoh lagi ialah Encik Abd. Gahfar bin Ali yang ketika itu bertugas sebagai Pengelola Sekolah-Sekolah Daerah Batu Pahat. Selain daripada dua orang itu tadi, masih ramai lagi mereka yang telah mencurahkan usaha dan derma baktinya bagi menerajui pembinaan STI ini.

Tiga setengah tahun selepas kelahirannya iaitu pada 27 hb.Ogos,1968, Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Raja, ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Tun Ismail, Parit Raja, Batu Pahat bagi mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abd. Rahman kepada agama, nusa dan bangsa. Sejak pertukaran nama itu, Sekolah Menengah Tun Ismail telah mencapai kemajuan yang pesat dan bidang akademik dan kegiatan ko-kurikulum.

Pada tahun 1965, Sekolah Tun Ismail mempunyai tiga blok bangunan untuk bilik darjah, pejabat, makmal dan lain-lain bersama-sama dengan satu blok kantin dan dua buah rumah guru. Sebuah padang permainan telah disiapkan dalam tahun 1967. Dalam tahun 1969 sebuah Makmal Sains dibina.

Pada tahun 1977, Sekolah Tun Ismail melangkah satu tapak lagi kehadapan dalam bidang akademik. Bermula pada tahun itu Sekolah Tun Ismail mempunyai dua aliran iaitu aliran Sastera dan aliran Sains.

Bilangan pelajar terus meningkat sehingga lebih 1600 orang. Persekolahan terpaksa diadakan pagi dan petang. Meskipun begitu masih juga diadakan "Kelas Terapung" bagi menampung bilangan pelajar yang bertambah. Pada tahun 1979, satu blok lagi bangunan dibina bagi menampung keperluan-keperluan semakin besar dan mendesak. Bangunan tersebut dikenali sebagai "Blok F".

Pada awal tahun 1986, Sekolah Tun Ismail telah memulakan pembinaan sebuah surau. Projek pembinaan surau ini telah berjaya dilaksanakan melalui peruntukan dari pihak Kemajuan Negeri dengan usaha Yang berhormat Dato’ Mustaffa bin Muhammad, Menteri Kebajikan Masyarakat Malaysia (RM33,000) di samping derma penjaga dan orang ramai. Surau tersebut telah dapat digunakan pada awal tahun 1987.

Pada akhir tahun 1989, sebuah bangunan (Projek Gotong Royong) berharga RM50,000 yang mengandungi empat bilik darjah dan sebuah stor, telah siap dibina dan mula digunakan pada awal tahun 1990, khusus untuk kelas KBSM.

Pada tahun berikutnya, 1991, sekolah ini telah berjaya mendapat peruntukan dari pihak Jabatan sebanyak RM50,000 bagi pembinaan sebuah "kompleks sukan" yang terdiri daripada gelanggang-gelanggang sepak takraw, bulu tangkis, tenis, bola tampar dan bola baling. Gelanggang-gelanggang tersebut telah berjaya disiapkan pada awal 1992.

Melalui suatu peruntukan dari pihak Kemajuan Negeri Johor dengan jasabaik Yang Berhormat Dato Mustaffa Muhammad, berjumlah RM22,000, pihak sekolah telah berjaya membuna sebuah Dewan Terbuka untuk pelbagai guna, istimewa bagi tujuan perhimpunan mingguan pelajar-pelajar.

Bagi tujuan penambahan bilik darjah dan makmal sains, pada tahun 1992 Sekolah Tun Ismail telah mendapat sebuah blok tiga tingkat, yang mengandungi antara lain dua belas bilik darjah dan tiga makmal sains di samping bilik-bilik air dan stor. Hasil sampingan daripada bangunan tambahan tersebut, pihak sekolah juga telah mendapat lima belas ruang tempat letak kereta. Pada tahun ini juga pihak Jabatan telah membina sebuah bilik kebal di sekolah ini.

Bagi menampung segala kekurangan dan memenuhi keperluan ramai, Sekolah Tun Ismail akan terus membangun dari masa ke masa, khususnya dari segi fizikal.

[Atas]


Nama Sekolah Menengah Tun Ismail telah termeteri disetiap sanubari masyarakat Batu Pahat di Parit Raja khususnya, sebagai sebuah sekolah yang boleh dibanggakan. Sekolah ini dinamakan sebagai Sekolah Menengah Tun Ismail kerana mengenang jasa dan pengorbanan Tun Dr. Ismail kepada nusa, agama dan bangsa.

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abd. Rahman adalah anak kelahiran Johor yang dilahirkan pada 4 November, 1915. Beliau mula bersekolah di Sekolah Rendah Bukit Zaharah dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Melbourne di Australia. Beliau berjaya menjadi doktor pada tahun 1945, seterusnya membuka sebuah klinik di Johor Bahru dengan nama Klinik Tawakkal.

Beliau mula berkecimpung dalam dunia politik setelah menubuhkan Kesatuan Siswazah Melayu bersama Dato Onn bin Jaafar. Pada tahun 1951 beliau mengikut Tuanku Abdul Rahman ke England untuk menuntut kemerdekaan. Setelah merdeka beliau dilantik sebagai Duta Pertama di Amerika Syarikat. Pada tahun 1957 hingga 1959 beliau menjadi Ketua Perwakilan PBB. Pada tahun 1960 menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1970 sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1973.

[Atas]


Orang yang dipertanggungjawabkan menyelia Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Raja (Sekolah Menengah Tun Ismail) semasa penubuhannya pada 7.2.1965 ialah Encik Pitdin bin Norit.

Beliau dilahirkan pada 29.4.1946 di Parit Sempadan Laut, Mukim 8, Batu Pahat, sebuah kampung yang terletak kira-kira 2 km dari Parit Raja.

Anak sulung dari 11 orang adik beradik ini sering berpindah randah mengikut keluarganya. Dari Parit Sempadan Laut ke Ladang Sungai Rakyat, kemudian ke Kampung Seri Gunung, ke Ladang Semberong dan akhirnya menetap di Parit Samijan, apabila ayahnya menjadi Pemandu Teksi.

Beliau memasuki alam persekolahan pada ketika usianya 7 tahun iaitu pada tahun 1953 di Sekolah Melayu Pintas Raya (Sekolah Kebangsaan Pintas Raya) hingga ke darjah 6.

Pada tahun 1959 ia melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Tinggi Batu Pahat di Kelas Menengah Melayu. Tahun 1961 ia berpindah ke Sekolah Dato’ Bentara Luar hingga ke Tingkatan 4.

Tahun 1963 ia terpilih untuk memasuki Sekolah Alam Shah, Jalan Cerah, Kuala Lumpur dan tamat Sijil Pelajaran Persekutuan.

Pada tahun 1965 ia terpilih untuk menerima Latihan Perguruan di Pusat Latihan Daerah Batu Pahat disamping bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Raja.

Beliau masa kini sedang giat berkerja sendiri setelah bersara secara pilihan pada 01 April 1998.

[Atas]